Makanan Halal di Manila (Aiman Thumb from Rose Amanda
Travel)
Assalamualaikum readers, Mabuhay Po!
Pernah melancong ke Manila? Teringin pergi tapi risau akan
makanan halal di sana? Jangan gusar kerana entry yang bakal saya kongsikan ini
adalah mengenai makanan halal di Manila. Secara peribadi, Manila merupakan
salah satu destinasi dalam senarai destinasi impian saya. Hal ini kerana Manila
adalah sebuah kota raya pertembungan antara budaya Timur bertemu Barat. Untuk
sebuah negara ataupun kota raya yang telah lama dijajah oleh Barat iaitu
Sepanyol dan Amerika Syarikat, warisan kebudayaan gabungan ini amat kuat dan
masih lagi diamalkan sehingga sekarang baik dari segi sosio-budaya, pertuturan,
kenderaan, kulinari dan sebagainya. Orangnya pula ramah sekali, cantik-cantik
dan kacak-kacak pula tu. Yelah, hasil perkahwinan campur kan?
Pada awalnya, tidak dapat saya nafikan ada sedikit kegusaran
tentang bagaimana tentang makanan halal sewaktu di Manila nanti? Adakah saya
hanya mampu makan roti, salad ataupun berubah haluan menjadi seorang vegetarian? Namun, saya bersyukur kerana
Allah S.W.T. menjawab keluhan hati kecil saya dengan mempermudahkan urusan
pencarian makanan halal di Manila. Sebelum ke sana, kami berdua (I went there with my mom) ada membuat
sedikit carian di google dan mendapati ada beberapa restoran makanan halal di
sana. Ya, tidak lah banyak namun tetap ada.
1)
Gilak by
Hossein – Restoran yang berstatus halal ini menyajikan makanan yang
berasaskan Timur Tengah seperti Kebab, Nasi Saffron, Pakora, Naan dan pelbagai
lagi. Dari segi harga memang agak mahal tapi saya percaya anda semua pasti
berpuas hati dengan porsi makanan di sini. Bayangkan makanan untuk satu orang
tapi boleh dinikmati oleh dua hingga ke tiga orang. Tapi buat anda yang
mempunyai selera besar seperti saya, satu porsi hidangan cukup buat anda
sahaja. Tiada masalah. Untuk anda yang ingin mencuba menu masakan halal di
sini, ini alamatnya ; 2ND Level Greenbelt 3, Ayala Center Makati Avenue, Makati
City, Makati, 1223 Metro Manila, Philippines.
2)
The Halal
Guys PH – Diasaskan oleh trio dari Mesir, restoran halal ini memulakan
langkahnya di Amerika dan Manila merupakan destinasi antarabangsa mereka yang
pertama! Menawarkan menu yang sama popular di New York seperti The Rice Platter, anda boleh memilih
sama ada mahukan lauk Ayam Racik, Daging Panggang Cincang atau kedua-duanya
sekali. Menu yang sungguh lazat ini dihidangkan bersama nasi jasmine, roti
pita, salad racik, tomato yang didadu kecil serta sos popular mereka (sos putih
dan pedas). Sangat mengiurkan. Selain itu, mereka juga mempunyai hidangan lain
seperti Falafels dan sandwiches serta air berkarbonat yang
tidak kurang juga hebatnya. Untuk ke sana, ini alamatnya ; THE HALAL GUYS PH,
5th Level SM Mega Food Hall, SM Megamall. Restoran ini terletak di dalam SM
Mall of Asia, lepas dah kenyang makan, boleh la membeli belah pula.
3)
Martabak
Café – Hasil terserempak dengan dua orang gadis Malaysia yang juga
merupakan pelancong di sini, mereka memberitahu tentang restoran halal di dalam
kawasan hypermarket yang sama. Kata pengunjung, tuan empunya restoran berkahwin
dengan wanita tempatan dan telah menetap lama di Manila. Tidak hairanlah jika
konsep makanan Malaysia-Singapura-Indonesia yang dibawa ke sini. Menawarkan
menu seperti Satay, Nasi Goreng, Sup Ekor, Kari Ayam, Nasi Lemak, Soto Ayam,
Bakso, Martabak Telur dan banyak lagi. Untuk anda yang memang selera melayu,
boleh la berkunjung ke sini; Ground Floor, 131 North Parking Building, SM Mall
of Asia, Bay Boulevard 1308, Philippines.
4)
Berjaya
Makati Hotel – Mendapat status halal dari HICCIP (Halal International
Chamber of Commerce and Industries of the Philippines), hotel ini juga patut
ada dalam senarai makanan halal kalian. Syukur kami sempat menikmati juadah di
sini walaupun hanya untuk bufet sarapan pagi dan makan malam. Sesuai dengan statusnya
sebagai hotel antarabangsa, hotel ini menawarkan menu makanan dari pelbagai
negara seperti Filipina, India, Sepanyol, Amerika dan juga Malaysia! Namun
begitu, amatlah rugi sekiranya kami tidak mencuba makanan tempatan kan? Maka,
kami masing-masing mencuba Sizzling
Bangus Sisig (Ikan Susu Racik Sizzling), Deep Fried Bangus (Ikan Susu Celup Tepung), Kalderetang Kambing, Beef Tapa
(Daging Lembu Cincang masak Kicap), Halo-Halo (Pencuci Mulut Tempatan). Kesemua
hidangan ini amatlah sedap dan kami sangat berselera menikmatinya. Hotel ini
sering mendapat perhatian para warga muslim untuk menginap di sini kerana taraf
status halalnya. Jadi, buat anda yang mahu mencuba, ini alamatnya ; 7835
Corner Eduque Street, Makati Ave, Makati, 1209 Metro Manila, Philippines.
5)
RICH
(Royal Indian Curry House) – Terletak di lokasi berhampiran dengan Hotel
Berjaya Makati, restoran yang kelihatan gah dari luar ini cukup menggamit kami
ke sini namun sayangnya ketika itu masa agak suntuk dan kami masih belum habis
membeli-belah jadi, kami batalkan saja kehendak untuk singgah di sini. Restoran
yang bertemakan masakan dari India ini menyajikan khusus makanan dari India
Utara seperti Biryani, Ayam Mentega dan kari serta banyak lagi. Kata
pengunjung, restoran ini menyediakan Kari yang terbaik di Filipina! Suasana
yang cukup santai tapi masih mengekalkan konsep kemewahan berjaya membuatkan
pengunjung berasa cukup selesa untuk bersosial sambil menikmati makanan yang
sungguh enak. Buat anda yang ingin berkunjung ke mari, ini alamatnya; 5345
General Luna, Makati, 1208 Metro Manila, Philippines.
Sebenarnya, misi mencari makanan halal di Manila bukanlah
sesukar yang disangka. Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jadi
untuk mengetahui dan lebih mengenali sesuatu tempat itu, haruslah berkunjung
dulu. Tak rugi mencuba, kalau anda suka, kami pun gembira, tetapi kalau tak
kena dengan selera, apa kami boleh buat. Ini cuma beberapa senarai restoran
yang sempat kami ketengahkan, jangan terkejut jika masih ada banyak lagi
restoran-restoran dan kedai-kedai makanan halal di Manila. Jujur saya katakan
percutian selama 4 hari 3 malam di Manila adalah suatu pengalaman yang tidak
mampu saya lupakan. Manila akan sentiasa tersemat di hati saya dan In shaa
Allah jika diberi rezeki dan peluang, saya mahu ke sana lagi.
Assalamualaikum. Hanggang sa muli nating pagkikita. (Till We
Meet Again)
Comments
Post a Comment